Pemanis blog =)

Search

Friday, July 15, 2011

Kisah Seorang Pemuda...

Assalammualaikum..
Selamat pagi Jumaat..dan semoga hari kita ceria dan diberkati =)
*ada macam ustazah Bahiyah tak..heheh

Hari Jumaat penghulu segala hari, marilah muhasabah diri


gambar google jumpa watermark pemilik gambar



Al Kisah......
tentang hebatnya balasan Allah kepada sesiapa yang mencintai-Nya dengan segala kelemahan dan kekurangan yang dimilikinya.

Kisah ini berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. Terdapat seorang lelaki Ansar yang baru memeluk Islam. Pemuda ini terlalu baik dan sentiasa berusaha untuk menjadi hamba yang bertakwa. Apabila Rasulullah menceritakan tentang syurga, dia menangis kerana merindui syurga Allah, dan ketika Rasulullah menceritakan tentang neraka, dia menangis terketar-ketar kerana takutkan api neraka Allah yang dahsyat itu.

Suatu hari, Rasulullah ingin menguji sifat amanah pemuda itu dengan menyerahkan sebuah bungkusan kepadanya untuk disampaikan kepada seseorang dihujung bukit. Pemuda Ansar menerima tugas itu dengan gembira. Dia berjaya menyerahkan bungkusan itu kepada orang yang dimaksudkan Rasulullah. Selesai urusannya, dia pulang dengan hati yang gembira kerana telah melaksanakan tugasan yang diberi Rasulullah dengan sebaiknya. Ketika melalui kawasan tepi sungai yang sangat cantik, dia terpandang seorang wanita yang sangat cantik sedang mandi di sungai. Wanita itu berpakaian tidak sempurna dan menampakkan tubuhnya yang putih gebu. Pemuda itu beristighfar panjang dan memalingkan wajahnya. Dia meninggalkan tempat itu sambil menangis ketakutan.

Dia meminta ampun kepada Allah kerana tidak sengaja memandang aurat wanita itu. Dia begitu takut dan tidak mahu pulang kerana malu pada Rasulullah SAW. Dia yakin Rasulullah akan mendapat perkhabaran daripada Allah. Dia tidak sanggup berhadapan dengan Rasulullah kerana berasa berdosa. Pemuda itu melarikan diri di kawasan gunung-ganang diantara Makkah dan Madinah.

Selama 21 hari pemuda itu tidak pulang-pulang. Rasulullah khuatir tentang keadaannya. Malaikat Jibril turun memberitahu Rasulullah SAW tempat pemuda itu berada. Rasulullah mencarinya untuk dibawa pulang. Ketika tiba di bukit tempat dia bersembunyi, terdengar pemuda itu berdoa : "Ampunkan dosaku ya Allah ... jangan Engkau bakar mataku ini kerana dosa melihat wanita itu, aku tidak sengaja ya Allah."

Rasulullah memujuknya untuk pulang. Akhirnya dia akur kerana perintah daripada Rasulullah SAW. Pemuda itu menangis menceritakan tentang dosanya yang tidak sengaja melihat aurat wanita. Lalu Rasulullah memujuknya dengan membacakan ayat 201 dari surah al-Baqarah. Kata Rasulullah, sesiapa yang membaca doa ini akan diampunkan Allah segala dosanya. Ayat itu bermaksud, "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada seksa neraka ..."

Tatkala Rasulullah tamat membacakan doa dari surah al-Baqarah itu, pemuda itu jatuh pengsan. Apabila sedar, Rasulullah bertanya apakah yang menyebabkan dia pengsan, jawab pemuda itu, dia begitu ketakutan mendengar Rasulullah menyebut api neraka. Dia tebayangkan seksaan neraka yang amat dahsyat.

Tidak lama selepas dia pulang, pemuda itu jatuh sakit. Rasulullah SAW tahu sakit pemuda itu tidak akan sembuh dan sedang menunggu hari untuk kembali ke sisi Allah. Rasulullah mengangkat kepala pemuda itu lalu dipangku di atas ribaannya, seperti yang baginda sering lakukan ketika melawat sahabat-sahabat baginda yang sakit.

Lelaki itu menghalang Rasulullah daripada meletakkan kepalanya di pangkuan baginda. Katanya, "Aku ini hina ya Rasulullah, banyak sekali dosaku. Sedangkan pangkuanmu itu terlalu suci dan bersih. " Rasulullah menitiskan airmata kerana begitu terharu dengan ketakwaan pemuda itu. Lalu Rasulullah bertanya apakah permintaan terakhir pemuda itu. Pemuda itu menjawab, "Wahai Rasulullah, sebelum aku kembali ke sisi-Nya, bolehkah engkau tanyakan kepada Allah, apakah Dia mengampunkan dosaku yang terlihat aurat wanita yang sedang mandi itu?"

Rasulullah SAW berdoa dan turunlah Jibril menyampaikan berita : "Wahai Muhammad, Allah mengirimkan salam kepadamu. Khabarkan kepada pemuda itu, seandainya dia mati sekarang ini dengan membawa dosa setinggi langit dan seluas bumi sekalipun, lalu dia bertaubat dan beristighfar memohon ampun kepada Allah, maka Allah menerima cintanya seluas langit dan bumi ini juga!"

Selepas melafazkan kalimah La ilaha illallah, pemuda itu menghembuskan nafasnya yang terakhir. Semasa jenazah pemuda tersebut dibawa untuk dikebumikan, Sahabat terpandang Rasulullah SAW berjalan terjengket-jengket. Sahabat bertanyakan, apakah kaki Rasulullah terkena duri atau kaca? Lalu Rasulullah SAW menjawab, "Bukan wahai sahabatku, kakiku bukan terkena kaca atau duri. Sebenarnya aku nampak perkara yang kamu tidak nampak. Aku berjalan begini kerana terlalu sesak. Aku terpaksa berjalan begini kerana ... tahukah kamu bahawa semua malaikat yang berada di langit turun ke bumi untuk memikul bersama jenazah pemuda ini. Kerana itulah jenazahnya terasa ringan ketika dibawa. Dia seorang lelaki penghuni syurga. "

Ya Allah, luas sekali cinta-Mu meski kami memikul beban dosa selua langit dan bumi ketika datang dihadapan-Mu. Hebatnya cinta pemuda Ansar itu kepada-Mu, sehingga dimuliakan oleh semua malaikat di langit.

Itulah balasan yang kita terima jika kita berusaha mencintai Allah dengan segala kemampuan yang kita miliki. Seribu kali Allah kasih dan sayang kepada kita. Pemuda itu tidak sengaja berbuat dosa, tetapi takutnya kepada Allah mengatasi segalanya. Dia berbuat dosa kecil sahaja tetapi berasa dosanya begitu besar kepada Allah. Sedangkan banyak orang melakukan dosa besar tetapi mengangapnya sebagai dosa kecil sahaja.

Renung-renungkan dan selamat beramal =)

Alhamdulillah..
nak copy silakan..spread the love..
Photobucket
****************************************************
Pecah kaca pecah cermin, dah baca jom komen-komen =)
****************************************************

4 comments:

Ardini Humaira said...

InsyaAllah...
semoga kita sentiasa ingat pada Allah, pencipta Yang Maha Agung

Unknown said...

Aminnn....

Anonymous said...

Alangkah bagusnya jika semua insan punya kesedaran seperti ini...

Unknown said...

Subhanallah

My e-Shop

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Bloggroll

Hye Everyone, exchange your link here. This list will be use for blogwalking :)

Thank You So Much For Visiting ^^

Thank You So Much For Visiting ^^
From : Gnie The Manager of this blog..lalala